Monday, November 02, 2009

PAS dari kaca mata Mahasiswa/Anak Muda Negara..

Pas dan langkah ‘kebelakang’nya

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Setelah dipersetujui oleh sekelian ahli Parti Islam Se Malaysia (PAS) di dalam Muktamar Agung parti politik tersebut dahulu, bahawa PAS mestilah berusaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) untuk mencapai lebih banyak kejayaan di dalam PRU ke-13 mendatang, dan menutup terus agenda Kerajaan Perpaduan. Namun isu ini kembali panas di dalam kepimpinan PAS.

Apa sebenarnya yang berlaku di dalam PAS hari ini? Rata-rata kepimpinan dan ahli bawahan PAS menyatakan soal adab, perpecahan dalaman dan macam-macam fundamental jemaah yang semakin mengelirukan fikrah asliyah (pemahaman sebenar) ahli-ahli kecil PAS.

Rakyat seluruhnya maklum, PAS adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di Malaysia ini. Dan PAS perlu berperanan sebagai satu badan yang mengembangkan kefahaman Islam yang sebenar menggunakan ‘baju’ PAS kepada masyarakat bukan Islam. Ini tugas utama PAS selain terlibat di dalam politik.

PAS, Fundamental dan Dakwah

Seharusnya PAS perlu bersyukur dianugerahi pemimpin seumpama Dato Seri Nizar Jamaluddin yang berjaya memberikan contoh menyatukan golongan bukan Islam dan berjaya menarik mereka ke gelanggang kefahaman bahawa PAS adalah membawa fundamental Islam dalam aspek-aspek keadilan sosial dan kebajikan.

Lebih bernilai, DS Nizar memakai baju PAS pada dakwahnya kepada rakan-rakan Cina di dalam DAP dan PKR.

Jika di lihat sejak PRU 12 pada 8 Mac lepas, yang berjaya menterjemahkan mesej Islam kepada masyarakat berbilang kaum adalah PKR, bukan PAS. Itu pun setelah, PAS mula membuka ruangnya bertahalluf dengan rakan-rakan parti lain. Jika tidak, saya rasa PAS tidak mungkin akan membawa idea ‘Kerajaan Berkebajikan’.

Jika dianalisis, sebab apa PAS gagal memperolehi majoriti sokongan pada PRU-11 dan kehilangan DAP sebagai rakan tahalluf, adalah kerana PAS waktu itu tegar dengan fundamentalnya untuk membawa ‘Negara Islam’. Namun, pada PRU baru-baru ini, PAS berjaya memperolehi lebih majoriti apabila mengenengahkan konsep ‘Negara kebajikan’ yang lebih dekat dengan rakyat.

Bukankah ‘Negara Kebajikan’ itu adalah hasil interpretasi sebuah negara Islam?

Patah Kebelakang

Namun, hari ini PAS seumpama hendak berpatah ke belakang, dan kembali menjadi sebuah parti yang dianggap jumud, konservatif dan tertutup, dalam keadaan masyarakat bukan Islam dari Cina dan India juga orang Islam yang kurang faham Islam yang sudah terbuka dan berlumba-lumba mahu mengetahui apa isi sebenarnya Islam yang di bawa PAS.

Mana tidaknya, tindakan ‘kurang cerdik’ Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Hassan Ali yang tidak sabar-sabar ingin menegakkan hukum Allah di muka bumi Selangor, lalu meluluskan Enakmen Undang-undang Arak bagi mencari pesalah minum arak. Sebab itulah saya tidak pelik, ia ditentang oleh rakan-rakan dari DAP yang tidak bersetuju, kerana saya yakin DAP masih belum faham undang-undang Hudud yang sebenar.

Apakah yang PAS faham kini apabila melaksanakan hukum Allah itu adalah dengan tujuh kesalahan Hudud tersebut perlu bermati-matian ditegakkan? Sedangkan, banyak lagi suruhan-suruhan dan galakkan supaya menegakkan keadilan, berhukum dengan adil, menentang kezaliman dan pecah-amanah, serta memusuhi rasuah. Hukum ini dimana letaknya?

Oleh sebab itu, pandangan saya isu ‘Kerajaan Perpaduan’ ini tidak akan timbul walau sedikit pun seandainya pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli PAS faham dan jelas matlamat dan agenda dakwah yang saya sebutkan diatas.

Apa perlu bergabung dengan UMNO, walaupun atas nama ‘menyelamatkan umat Islam’, yang PAS sendiri pun tidak akan pasti dan yakin, jika mereka bergabung dan membentuk kerajaan, hukum Islam akan berjaya dilaksanakan. Untuk menyelamatkan ‘orang Melayu’, bolehlah!

Kejayaan Islam Hadhari Pak Lah

Bagi saya, ‘Kerajaan Perpaduan’ ini boleh dikatakan salah satu propaganda untuk mensekularkan PAS dengan meletakkan perjuangan kefahaman Islam jauh menyimpang dari fundamental yang diura-urakan PAS itu.

Mengikut bacaan saya juga, ia adalah salah satu kebijaksanaan Perdana Menteri dahulu, Pak Lah yang berjaya menterjemahkan idea ‘Islam Hadhari’nya untuk menyatu-padukan ummah atas nama Islam.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin PAS yang dahulunya berdegar-degar mengutuk Islam Hadhari, sedangkan pada hari ini mahukan pula ‘Kerajaan Perpaduan’, maka mereka ini masih belum faham perjuangan Islam sepenuhnya, atau pun menganut kefahaman Islam Hadhari.

Apa yang berlaku hari ini, boleh diselesaikan. Soal, EGM dan sebagainya, hanya metodologi penyelesaian sahaja. Apa yang penting, PAS mesti mengenal-pasti jalur-jalur kelemahan di peringkat kepimpinan melalui medan-medan tarbiyah antaranya usrah dan pertemuan fikri mereka.

Pemahaman Islam yang seharusnya menepati pada waktu dan kondisi hari ini, sambil digabungkan dengan keluasan konsep Islam perlu diperhatikan kembali.

Dan penerangan ini perlu dilengkapi dengan penghayatan sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dalam pentadbiran politik baginda di Madinah yang memiliki kaum dan agama yang berbilang, dan bukan sekadar mencontohi peringkat dakwah di Mekah yang hanya mengutarakan dakwah fasa rahsia dan seterusnya kepada fasa terang-terangan.

Bagaimana pula dengan dakwah Nabi s.a.w di Madinah yang lebih luas dan terbuka? Bagaimana hubungan Nabi s.a.w dengan golongan bukan Islam? Apa kerjasama politik dan ekonomi yang baginda telah laksanakan?

Persoalan ini perlu ditanggapi dengan kritikal dan ilmiah. Bagi saya PAS masih lagi punyai peluang untuk berubah, sebelum mereka membuat perubahan.


sumber, Mahasiswakini

Thursday, July 20, 2006

lahirmu bukan utk dunia (sweet charity ....in memory 1986)

Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung merak. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Daging tidak dimakan, burung lain enggan berkawan. Terbang tak setinggi mana, lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodal untuk dibanggakan... jika harga diri merak adalah pada tahap kecantikannya, apakah harga diri seorang insan juga bergantung kepada kecantikannya? Insan lebih mulia dari itu...

“Saya tidak pernah berasa tertekan atau ditindas kerana berpakaian begini. Malah ia telah memulangkan kembali harga diri saya yang hilang selama ini. Jika dulu saya mungkin ditawarkan kerja atau apa-apa faedah kerana rupa paras dan kecantikan yang saya cuba peragakan. Tetapi hari ini, saya mendapat apa yang saya dapat, kerana saya dinilai sebagai saya. Orang menilai saya atas kualiti, kemahiran dan prinsip kehidupan yang ada pada diri saya. Dan itulah diri saya yang sebenar”


Saya terpaku mendengar ucapan Sister Rabiah di hadapan lebih 400 orang warga Universiti the Queen’s, Belfast. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk “Moslem Women Are Free From Modern Slavery”. Ia merupakan salah satu slot yang mengisi program Islamic Awareness Week yang dianjurkan oleh Islam Students Society of Northern Ireland (ISSNI) dengan kerjasama Belfast Islamic Centre, tempat saya bertugas sebagai Imam.


Sister Rabiah adalah wanita Irish yang memeluk Islam lebih 20 tahun yang lalu. Zaman itu adalah era Ireland yang terlalu asing dari Islam. Tidak seperti hari ini, yang jumlah orang Islam di Ireland Utara sahaja sudah mencecah 10 ribu orang. Selepas Sister Rabiah memeluk Islam, beliau gigih mempelajari Islam, mempelajari Bahasa Arab, dan akhirnya beliau sampai ke tahap berjaya menghantar anaknya sendiri belajar di Madinah.


Saya amat berharap yang suatu hari nanti, anaknya akan menjadi Imam yang pertama di Ireland Utara, dari kalangan anak tempatan sendiri. Impian ini dikongsi bersama dengan ibunya, Sister Rabiah, serta suaminya Sheikh Mehdi yang bertugas sebagai rakan sejawat saya di Bandar Craigavon, 25 km ke barat Belfast.


Ucapan Sister Rabiah itu benar-benar mencelikkan pemikiran saya. Jika suatu ketika dahulu, kaum wanita menjadi hamba kepada lelaki. Sama ada di dalam tamadun Arab Jahiliyah, mahu pun tamadun Hindu, Greek, Rome, malah seluruh tamadun Barat dan Timur, kesemuanya memandang rendah kepada wanita. Wanita boleh dikongsi dan dipindah milik sesuka hati, wanita dinafikan haknya untuk memiliki harta serta berniaga, malah ada wanita yang mesti dibakar hidup-hidup bersama suaminya yang meninggal dunia. Semua ini telah sedia ada di dalam pengetahuan kita.


Semua itu sudah dihapuskan dengan kedatangan Islam. Islam telah memberikan apa yang sepatutnya diberi kepada wanita, sebagai insan, yang bukan sebarang insan. Islam memuliakan ibu, merupakan seorang perempuan. Islam menyama ratakan nilai ketaatan lelaki dan wanita, tanpa berkurang walau sedikit pun. Wanita diberikan hak berniaga, memiliki harta, menegur pemimpin, keluar belajar dan mengajar serta pelbagai lagi keistimewaan yang hanya dapat dikecapi oleh tamadun bukan Islam selepas bermati-matian berjuang di atas peluh dan darah.


Tradisi memperhambakan wanita sepatutnya sudah lenyap. Wanita bukan hamba. Mereka adalah khalifah Allah di bumi ini, yang nilai diri mereka terletak kepada sejauh mana mereka dapat melaksanakan tujuan Allah menciptakan mereka, bersama lelaki yang turut dinilai dari sudut yang sama. Lelaki dan wanita, ada peranan masing-masing, dan ia terlalu bersesuaian dengan acuan Allah di dalam penciptaan setiap mereka.


Lelaki yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tugas, amanah dan tuntutan, diberi kecenderungan untuk dipengaruhi pertimbangan akal berbanding emosi. Manakala wanita yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tugasan, sama ada di dalam keluarga mahu pun masyarakat, diberi kecenderungan untuk teguh dan tekun pada kekuatan emosi berbanding rasional akal. Kerana itu wanita mampu mengulang-ulang rutin yang sama (berapa kali seumur hidup wanita mengemas rumah yang tidak pernah berhenti semak), kerana emosi kasih dan sayang kepada keluarganya kuat, terlalu kuat berbanding lelaki, yang lebih suka melogikkan sesuatu. Jika lelaki dan wanita saling memainkan peranan masing-masing, hak lelaki dan perempuan di dunia ini dengan sendirinya akan tertunai. Namun apabila masing-masing sibuk menuntut hak, runtuhlah kerukunan hidup kerana untuk menuntut hak, masing-masing hanya perlu menDESAK.


Wanita sudah sedia mulia...


Akan tetapi, kemuliaan wanita itu dirampas dari dunia hari ini, kerana manusia sendiri yang lari dan menjauhkan diri dari ketetapan Tuhan, Sumber kebaikan dan kemuliaan itu. Wanita sendiri yang mahu dirinya dinilai pada rupa paras yang diperagakan. Mereka mahu dinilai pada bentuk bulu mata, gaya rambut, rupa kaki, atau jenama pakaian yang semua itu bukan dirinya yang sebenar. Akhirnya wanita terpaksa bekerja keras untuk ‘dilihat tinggi’. Mereka perlu berbelanja besar, mereka menyeksa jiwa atas pilihan sendiri, semuanya kerana mahu kelihatan cantik di mata manusia yang memandangnya. Kerana mahu memuaskan hati semua orang, dialah satu-satunya ‘orang’ yang tidak berpuas hati dengan dirinya sendiri, sepanjang masa. Ketika orang lain ada pelbagai urusan hidup lain, dia menghabiskan masa dan jiwa pada memikirkan pandangan orang lain terhadap dirinya sendiri. Hidup dikelilingi ‘tuhan’ yang banyak memang mengundang derita.


Perempuan seperti ini mahu manusia melihat dan menilainya dengan pandangan hawa nafsu semata-mata. Sedangkan hawa nafsu manusia itu, kehendaknya seperti air laut, yang makin diteguk makin haus. Dia terlupa bahawa manusia tidak mungkin dapat dipuaskan, apatah lagi untuk memuji sebagai balasan. Alangkan Allah yang Maha Baik dan Maha Indah itu pun manusia ramai yang lupa serta tidak tahu memuji-Nya, apatah lagi manusia yang rabun jauh dan dekat ini. Rabun Akhirat, rabun Dunia!


Marilah wahai wanita yang berjiwa tinggi, muliakan dirimu dengan dirimu yang sebenar. Dirimu adalah akhlakmu, hikmahmu, kebijaksanaanmu, hati budimu, yang semua itu hasil dari imanmu. Didiklah manusia di sekitarmu agar menilai dirimu sama seperti Tuhan menilaimu. Lantas segala penampilanmu adalah mesejmu kepada manusia, bahawa keluhuran erti hidup ini, adalah pada melihat kehidupan, dari pandangan Pencipta kehidupan.


Keluarlah dari perhambaan itu. Jangan hambakan diri kepada manusia yang juga hamba sepertimu. Jadikan dirimu tinggi, selepas engkau tundukkan diri di hadapan Tuhan yang Maha Tinggi. Namun, untuk memerdekakan seorang hamba yang diperhambakan dengan cara ini, bukanlah semudah menyebutnya. Hamba abdi ini gembira diperhambakan, perhambaannya penuh keseronokan, biarpun ia mengikis harga diri dan nilai keinsanan. Tetapi, biar pun perhambaan akhir zaman ini glamour lagi mengasyikkan, hujungnya tetap derita penuh sesalan. Begin with the end in mind!


Be yourself, but be the best of yourself


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 18 Julai 2006

Sunday, November 27, 2005

demokrasite

malaysia perlu mengamalkan demokrasi bebas daripada cengkaman si kukubesi...